“Mendapat barakah dalam setiap urusniaga merupakan impian setiap usahawan muslim..”
Ini adalah kerana manfaat barakah bukan sahaja dapat memakmurkan ekonomi pemiliknya, malah ianya lebih dari itu!
Barakah mengalir dalam setiap tubuh badan serta anggota yang sihat. Barakah juga melindungi peniaga daripada sebarang bencana dan menjadikan mereka, keluarga mereka serta para masyarakat sekitarnya lebih bahagia.
Barakah dalam perniagaan membawa maksud bahawa benarnya setiap kata-kata, cukup walaupun sedikit tetapi membawa banyak manfaatnya kepada kehidupan. Inilah matlamat yang dicari-cari oleh setiap peniaga muslim.
Beroleh Barakah bukanlah sesuatu yang mustahil, ini kerana sesiapa yang dekat dengan Allah serta patuh kepada sunnah rasul, kehidupannya pasti memperoleh serta dikurniakan barakah.
Berikut saya kongsikan 7 perkara yang boleh anda lakukan dalam kehidupan anda untuk mencari barakah dalam perniagaan anda.
“7 Cara Mencari Barakah Dalam Perniagaan”
1. Sentiasa menjaga niat berniaga
Semua orang di dunia ini percaya mengenai kepentingan niat dalam kehidupan setiap insan. Niat merupakan lintasan gerak hati yang mendorong kepada kehendak serta azam untuk melakukan sesuatu. Dalam konteks ini ialah niat untuk berniaga.
Berniagalah dengan niat kerana Allah SWT, tidak kiralah anda ingin berniaga untuk mencari rezeki sambil beramal atau sebagainya.Jagalah niat anda ketika berniaga, nescaya anda akan beroleh barakah.
”Ya Allah, jadikan kami peniaga yang menjaga niat kami ikhlas hanya kepada Mu. Moga usaha niaga kami barakah.”
2. Sentiasa menjaga Ketakwaan dalam berniaga
Menjadi amalan peniaga membaca dan memahami ayat seribu dinar (Surah at-Thalaaq 65 : 2 – 3). Dari ayat berkenaan fahamilah kita akan tiga perkara yang dijamin Allah SWT:
satu : jalan keluar masalah,
kedua : rezeki yang datang tanpa disangka
ketiga : kecukupan rezeki.
Semuanya jelas berdasarkan kepada takwa dan tawakal. Maka bertakwalah anda kepada Allah SWT dan jauhkan diri daripada perkara yang menyesatkan serta mengambil hak orang lain. Sentiasalah mengingati Allah dalam setiap situasi dan sentiasalah bersyukur kepadaNYA.
”Ya Allah, jadikan kami peniaga yang bertakwa. Moga usaha niaga kami barakah.”
3. Sentiasa percaya sesungguhnya Allah pemberi rezeki
“Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kami lah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa (Taaha 20 : 132).
Orang berniaga wajib percaya bahawa Allah SWT merupakan sumber rezeki yang sebenar-benar. Berusahalah sekuatnya, sekuat dengan iman (percaya) bahawa Allah SWT itu sumber rezeki seluruh kehidupan kita.
Ya benar, peniaga mesti punya pembekal yang baik, pengurus yang efektif, harga yang menarik, pakej yang unggul, ayat yang berkuasa, taktik dan strategi yang ampuh, suasana ekonomi yang ideal, rakan kongsi yang berfungsi, pembiaya yang ikhlas dan bermacam lagi untuk dinyatakan. Cuma akhirnya, peniaga hanya ada Allah sebagai pemberi rezeki.
”Ya Allah, jadikan kami peniaga yang benar-benar beriman kepada Mu yang memberi rezeki kepada kami. Moga usaha niaga kami barakah.”
4. Sentiasa membaca al-Quran
Secara asasnya, untuk berjaya dalam perniagaan, anda memerlukan jiwa yang kental dan semangat yang kuat. Al-Quran merupakan ubat serta penawar kepada jiwa serta semangat setiap peniaga.
Sentiasalah mengamalkan bacaan al-Quran setiap hari dan sentiasalah istiqamah serta fahami setiap maksud yang tertulis dalam al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.
“Ya Allah, jadikan kami peniaga yang membaca dan mengamal al-Quran setiap hari. Moga usaha niaga kami barakah.”
5. Sentiasa melazimi ucapan Bissmillah dalam urusan perniagaan
Sebagai seorang peniaga, banyak situasi yang memerlukan kita untuk membuat keputusan. Maka terdedahlah kita kepada pujukan syaitan jika kita tidak kuat iman.
Mulakanlah setiap urusan anda dengan lafaz Bismillah agar sentiasa diberkati. Semoga dapat dijauhkan dari sebarang malapetaka buruk serta sentiasa dimurahkan rezeki, bahagia dan selamat sentiasa.
”Ya Allah, jadikan kami peniaga yang melazimi urusan niaga kami dengan menyebut nama Mu. Moga usaha niaga kami barakah.”
6. Sentiasa memberi makanan serta bersedekah
Memberi makanan kepada orang lain serta bersedekah merupakan amalan yang dituntut oleh Allah SWT kepada orang-orang yang soleh terutamanya para peniaga. Anda bukan sahaja mendapat ganjaran pahala, rezeki anda juga akan berlipat ganda.
”Ya Allah, jadikan kami peniaga yang senang memberi makan orang lain. Moga usaha niaga kami barakah.”
7. Sentiasa jujur dalam setiap urusniaga
Nabi Muhammad SAW juga pernah menjadi peniaga. Baginda sangat jujur dan baginda meraih untung besar berganda kerana kejujuran beliau. Malah Nabi SAW pernah menjamin peniaga yang jujur dan amanah akan ditempatkan bersama para nabi, siddiqin dan syuhada’ di jannah nanti (mafhum hadis, hadis riwayat at-Tirmizi).
Peniaga jujur akan bertahan lama dan sentiasa disukai pelanggan. Jujur juga menggalakkan peniaga menjadi kreatif. Khianat hanya menggalakkan peniaga menipu tetapi jujur pula menghalalkan usaha niaga. Jujur membawa kepada barakah, menuju jannah.
“Ya Allah, jadikan kami peniaga yang jujur. Moga usaha niaga kami barakah.”
Saya berpesan kepada diri yang menulis serta kepada para peniaga di luar sana mengenai kepentingan tujuh perkara ini. Sangatlah beruntung jika perniagaan kita bukan sahaja mendapat untungnya berganda, malah memperolah barakah juga.